AGAK mengejutkan apabila nama pelakon yang eksotik wajahnya, Dira Abu Zahar dicanang-canang sebagai antara nama baru yang akan mengambil alih mikrofon yang selama ini dipegang kemas oleh Fara Fauzana sejak enam tahun lalu sebagai pengacara Melodi.
Khabar panas itu mula bertiup selepas kemunculan terbaru Dira sebagai hos bersama Fara Fauzana yang popular disebut Fafau dan Wahid Senario dalam Melodi, Ahad lepas.
Sebelum itu, Dira juga sudah beberapa kali menjadi penyeri program yang disiarkan setiap Ahad pukul 12.30 tengah hari itu.
Lebih mengiakan, terdengar pula ura-ura bahawa akan berlaku rombakan besar-besaran dalam program berkenaan bermula Mac nanti.
Bukan nama Dira seorang sahaja yang dipetik sebagai pengacara baru program itu bahkan Zizan Raja Lawak juga disebut-sebut sebagai watak baru yang menggantikan tempat Wahid.
Kemunculan Zizan dalam Melodi sebelum ini juga seperti isyarat awal anak kelahiran Terengganu itu sedang diperhatikan sebagai semangat baru kepada program bersifat sensasi dunia hiburan itu.
Penerbit Melodi, Azman Ghaffar bagaimanapun tidak menafikan bahawa pihaknya sedang mencari pengacara baru Melodi bagi menggantikan Fara Fauzana dan Wahid.
Azman berkata, ia disebabkan pasangan berkenaan sudah terlalu lama mengemudi rancangan tersebut.
Bagaimanapun kata Azman, khabar angin bahawa Dira dan Zizan akan menjadi pengacara baru Melodi adalah tidak benar.
Jika benar, Dira dan Zizan bakal diumumkan sebagai hos baru Melodi dalam tempoh tidak sampai sebulan dari sekarang, sudah tentu tuan empunya badan sudah sedia maklum dengan keputusan berkenaan.
Namun, sebaliknya yang berlaku. Dira dan Zizan tergamam seolah-olah berlakon tidak tahu dengan kekecohan pertukaran pengacaraan di Melodi.
Sebagai rekod, Dira sebelum ini pernah mengacarakan program Beat TV, Fulus Mania dan Jom Ronda manakala Zizan pula popular dengan program Raja Lawak, Bolos dan Jozan.
Sensasi Bintang: Sudah bersedia mengemudikan kerusi panas Melodi?
DIRA: Ini bukan soal bersedia atau tidak, tetapi boleh atau mampukah saya memikul tanggungjawab itu. Saya sendiri tidak tahu semua ini, pihak TV3 atau Media Prima Bhd. tidak memberitahu apa-apa lagi. Saya tak berani bercakap, nanti saya yang dituduh berangan pula.
Adakah anda mahu menjadi pengacara sebuah program seperti Melodi yang cenderung pada kisah sensasi artis?
Saya sendiri bermula di Beat TV, juga sebuah program informasi dunia artis yang agak sensasi, kemudian barulah saya berlakon. Jika diberi tanggungjawab, tak kisahlah sensasi atau informasi, saya akan terima dan buat sehabis baik.
Khabar angin pertukaran pengacara Melodi itu sudah kecoh diperkatakan dan mulai Mac ini anda disebut-sebut terbabit dalam rombakan program itu, tetapi mengapa masih bermain wayang?
Saya terkejut dan tak sanggup dengar bila orang kata saya ganti tempat Fara Fauzana sedangkan saya tidak tahu apa-apa. Memang pihak TV3 kerap hubungi saya untuk jemput sebagai tetamu, macam dalam Wanita Hari Ini begitu juga dengan Melodi, tak tahulah pula ada kena-mengena dengan pertukaran pengacara program itu.
Anda dan Zizan heboh diperkatakan sebagai gandingan baru dalam Melodi, jadi bagaimana?
Jujurnya saya tak tahu dan lebih baik saya berdiam. Tentang Zizan pula, saya tidak boleh komen apa-apa, kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini.